Isnin, 11 Oktober 2010

Kata Alu-Aluan Pengetua


Assalamualaikum w.b.r dan salam sejahtera.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Webmaster laman web sekolah ini kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merakamkan sepatah dua kata dalam laman web ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas kejayaan Webmaster menghasilkan laman web ini. Diharap semoga laman web ini dapat menjadi nadi kepada penyalur maklumat dan juga dokumentasi berkaitan sekolah untuk dijadikan panduan pihak-pihak yang memerlukannya sebagai rujukan.
            Sebagai pengetua, adalah menjadi sesuatu yang amat perlu saya nyatakan di sini bahawa tugas pengkorporatan sekolah, terutama pembentukan imej guru dan pelajar menjadi agenda utama sekolah. Pembentukan imej yang baik ini mampu mempengaruhi kecemerlangan sekolah ini yang menjadi tempat utama untuk menuntut ilmu sebagai persediaan awal untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi. Tanpa imej yang baik, amat sukar bagi kita menuju kepada misi dan visi sekolah yang sehaluan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang amat menekankan kecemerlangan yang berlandaskan ciri-ciri mulia.
            Kejayaan sekolah amat bergantung kepada kerjasama semua, melibatkan pentadbir, guru, staf sokongan dan juga pelajar. Kerjasama yang terjalin selama ini haruslah dikekalkan sepanjang masa agar kita dapat merealisasikan impian untuk menjana sebuah masyarakat sekolah yang cemerlang. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi sepanjang kita bersama-sama membangunkan sekolah.
            Akhir kata, sekali tahniah kepada Webmaster atas usaha yang dilakukan bagi merealisasikan laman web sekolah ini.
"BERUSAHA PASTI JAYA"

Terima Kasih.

Hjh Semah Mohd Noh
Pengetua
SMK Dato Haji Talib Karim


Mencari Sesuatu